Portal Rasmi JKR Daerah Perak Tengah

  • Full Screen
  • Wide Screen
  • Narrow Screen
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Portal Rasmi JKR Daerah Perak Tengah

Mengenai Kami

E-mail Cetak PDF

PENGENALAN

Sesuai dengan namanya Daerah Perak Tengah terletak di bahagian Tengah Negeri Perak dan bersempadan dengan Daerah Kuala Kangsar di Utara, Hilir Perak di Selatan, Manjung di Barat dan Kinta di sebelah Timur. Daerah ini telah diwujudkan pada tahun 1936 di mana sebelum tarikh tersebut ianya merupakan sebahagian kecil dari Daerah Kuala Kangsar, Hilir Perak, Manjung dan juga Kinta.
Daerah ini meliputi kawasan seluas 1282 km. persegi dan mempunyai penduduk seramai 67,290 orang (mengikut bancian tahun 1991). Hasil utama penduduk daerah ini ialah di sektor pertanian seperti padi, getah, kelapa sawit dan juga buah-buahan seperti durian dan lain-lain.

Bandar Seri Iskandar merupakan pusat pentadbiran daerah ini manakala Kampung Gajah pula merupakan sebuah Daerah Kecil di daerah ini.

Daerah Perak Tengah merupakan sebuah daerah yang penuh bersejarah di mana di daerah inilah telah bermulanya sejarah penentangan orang-orang Melayu terhadap pendudukan Inggeris di Negeri Perak. Tujuan Daerah Perak Tengah diwujudkan adalah supaya pentadbiran daerah menjadi lebih kemas dan berkesan dengan mengecilkan keluasan sesuatu daerah itu.

Jika kita sebut nama Pasir Salak maka kita tidak dapat memisahkannya dengan Pahlawan-pahlawan Melayu yang terkenal seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan yang seangkatan dengan mereka. Nama Pasir Salak berasal dari pasir di tepi sungai Perak yang dipenuhi kulit buah salak. Salak ialah sejenis buah , kulitnya berwarna cokelat, isi agak putih dan pokoknya seperti pokok nipah.

Sungai merupakan nadi kehidupan masyarakat di tepi sungai sebagaimana penduduk Pasir Salak. Di sungai inilah penduduk kampung menyara hidup dengan menjadi nelayan sungai, bot penambang, menghanyutkan buluh dan balak , mengangkut buah durian dan lain-lain buah-buahan ke Teluk Intan.

Di Pasir Salak juga adalah tempat berlakunya peristiwa pembunuhan Residen Inggeris yang pertama iaitu J.W.W. Birth yang merupakan detik bermulanya penentangan orang-orang Melayu yang diketuai oleh Dato’ Maharajalela terhadap pihak penjajah Inggeris di Negeri Perak.

SEJARAH, PERKEMBANGAN DAN AKTIVITI JABATAN KERJA RAYA PERAK TENGAH

JKR Daerah Perak Tengah telah ditubuhkan pada 1hb. Ogos 1979. Penubuhan JKR Daerah Perak Tengah ini adalah disebabkan oleh beberapa aspek. Pertamanya adalah kerana Daerah Perak Tengah sendiri yang telah ditubuhkan pada 1936 iaitu lebih 40 tahun usianya tentunya banyak program-program pembangunan yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia. Dengan adanya sebuah organisasi JKR di bawah pentadbiran Daerah Perak Tengah secara langsung maka proses perlaksanaan program-program pembangunan akan menjadi lebih baik dan berkesan. Keduanya dengan tertubuhnya JKR Daerah Perak Tengah ini maka beban kerja yang selama ini ditanggung oleh Daerah Kuala Kangsar, Kinta, Manjung dan Hilir Perak telah dapat dikurangkan.


Organisasi

Semasa ditubuhkan pada tahun 1979 kakitangan pejabat ini hanya terdiri daripada seorang Jurutera Kerja dan beberapa orang kakitangan iaitu seorang Kerani, Juruteknik, Juruteknik Rendah, Pelukis Pelan serta beberapa orang Pekerja Am. Memandangkan kepada tugas yang berat yang ditanggung oleh seorang Jurutera Kerja dalam melaksanakan program-program pembangunan di dalam daerah maka pada tanggal 1hb. Januari 1981 jawatan tersebut telah dinaiktaraf kepada jawatan Jurutera Daerah JKR Perak Tengah sepertimana daerah-daerah yang lain.

Setelah beberapa tahun kemudian JKR Perak Tengah telah berkembang menjadi sepertimana JKR Daerah lain yang mana ianya dipimpin oleh Jurutera Daerah yang mentadbir Bahagian Pentadbiran, Bangunan, Jalan, Senggara, Elektrik, Stor dan Ukur Bahan serta mempunyai Cawangan-cawangan kecil di bawahnya yang mempunyai peranan masing-masing. Kini JKR Perak Tengah mempunyai 154 orang kakitangan.

 

Bangunan Pejabat

 

Pejabat JKR Daerah Perak Tengah semasa penubuhannya pada tahun 1979, terletak di Jalan Kelab, Parit. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1981 pejabat ini telah berpindah ke bangunan baru yang bertaraf sementara di Jalan Siputeh, Parit berhampiran dengan Pejabat Daerah Perak Tengah.

Pada 18hb. September 1993 JKR Perak Tengah telah berpindah dari Pekan Parit iaitu pejabat baru yang moden dan selesa di Aras 3 Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah, Seri Iskandar, Bota yang baru disiapkan pembinaannya

Pada bulan Julai 2002 adalah tarikh yang bersejarah buat JKR Perak Tengah kerana memiliki bangunannya sendiri bertempat di Seri Iskandar. Pejabat baru ini bernilai 3.3 juta ringgit. Selain dari pejabat pentadbiran di Seri Iskandar, JKR Perak Tengah mempunyai tiga buah cawangan kecil iaitu Cawangan Kg. Gajah, Tanjong Belanja dan Stor Parit.

Cawangan Kg. Gajah

Kg. Gajah merupakan Cawangan Kecil di bawah Pentadbiran Daerah Perak Tengah suatu ketika pejabat ini hanya terdiri dari beberapa buah deretan kedai. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Kg. Gajah telah menjadi sebuah bandar di sebelah hilir Sungai Perak yang berkembang pesat dengan sektor industri dan perniagaan. Dengan pembangunan pesat tersebut maka Cawangan Kg. Gajah merupakan struktur penting JKR Daerah Perak Tengah. Ianya mempunyai sebuah pejabat bertaraf kekal yang dibina pada tahun 1987 di mana seorang Juruteknik ditempatkan di sini untuk mengawasi kerja-kerja selenggaraan dan projek-projek di kawasan Kg. Gajah yang juga meliputi
kawasan Seberang Perak hingga ke Mukim Kota Setia.

Cawangan Tanjong Belanja

Pejabat bagi cawangan ini telah dibina pada tahun 1954 dan terletak bersebelahan dengan Jambatan Nordin di mana fungsi utamanya suatu ketika dahulu ialah untuk mengawasi kerja-kerja selenggaraan jambatan bailey yang menyeberangi Sungai Perak tersebut.

Pejabat ini kemudiannya di bina semula pada tahun 1997 bagi menggantikan bangunan lama. Peranan cawangan Tg Belanja pada masa kini ialah mengawasi kerja-kerja selenggaraan jalan. Seorang Juruteknik dan beberapa orang Pekerja Am ditempat di cawangan ini.

Cawangan Stor Parit

Cawangan Stor Parit pula adalah merupakan Cawangan Stor dan Kenderaan JKR Perak Tengah. Tiga orang Juruteknik dan seorang Penyelenggara Stor ditempatkan di sini untuk mengawasi kerja-kerja selenggaraan Bangunan, Jalan, Kenderaan dan juga Stor. Sebahagian besar Jentera dan Kenderaan ditempatkan di cawangan ini.

Nama-Nama Jurutera Daerah JKR Perak Tengah

01-08-1979 hingga 06-04-1980
Mohammad Akbar bin Yahya


07-04-1980 hingga 30-09-1981
Annies bin Mohd Arif


01-10-1981 hingga 15-09-1984
Mohammad Khairi bin Ambran

16-09-1984 hingga 15-10-1989
Ismail bin Mohamed Taib

16-10-1989 hingga 15-03-1995
Che Yusoff bin Abdul Rahman

16-03-1995 hingga 30-09-1996
Nor Ezzuddin bin Ghazali Azmi

01-10-1996 hingga 31-10-2001
Ghazali bin Md. Noor

31-10-2001 hingga 31-01-2004
Ir. Ab. Manan bin Embong

01-02-2004 hingga 19-11-2008 
Amran bin Mohd Nor

2 -11-2008 hingga Sekarang
Mohd Elham bin Abd Kasim

Selain dari Menguruskan Projek Pembangunan, perkhidmatan menyenggara kemudahan awam seperti jalanraya, bangunan-bangunan kerajaan dan jambatan, JKR Perak Tengah juga memberikan khidmat nasihat teknikal kepada jabatan-jabatan serta agensi kerajaan lain yang memerlukannya dari semasa ke semasa.

Last Updated on Jumaat, 06 April 2012 18:37

Kenyataan Penafian | Dasar Privasi | Soalan Lazim

JABATAN KERJA RAYA DAERAH PERAK TENGAH
Pejabat Jurutera Daerah, JKR Perak Tengah, Seri Iskandar, 32600 Ipoh, Perak, Malaysia.

Tel: 605-3712003/3712143 Faksimili: 605-3712092 Toll Free: 1-800-88-3377
Email : admin@jkrperak.gov.my

 
You are here MUKA HADAPAN